Amalan Pada Malam Hari Raya Aidilfitri

Beberapa hari lagi Ramadan akan melabuhkan tirainya. Insya Allah Syawal pula menjelma. Bermakna tamat sudah perjuangan umat Islam menahan lapar, dahaga dan hawa nafsu selama sebulan.

 

Walaupun Ramadan berakhir, namun itu bukan bermakna kelebihan beribadah masih tidak boleh diteruskan terutama menjelang malam Hari Raya.

 

Terdapat satu hadis yang memperihalkan tentang galakan melakukan ibadah pada malam Hari Raya. Dari Abu Umamah al-Bahili,

 

sesiapa yang menghidupkan dua malam hari raya (Aidilfitri dan Aidiladha) kerana mengharapkan ganjaran kerana Allah, maka hatinya tidak akan mati pada hari di mana matinya hati-hati (manusia)

 

Hadis ini bermaksud matinya hati-hati manusia adalah hari di mana manusia terlalu cintakan dunia sehingga melupakan tugasnya sebagai hamba Allah S.W.T.

 

Bagaimanapun hadis ini dianggap dhoif (lemah) kerana terdapat perawi dari hadis ini yang dhoif (lemah) iaitu Baqiah bin Walid. Namun begitu hadis ini tidak berkait dengan hukum hakam melainkan berkisar tentang kelebihan-kelebihan beramal.

 

Oleh itu jumhur ulama membenarkan untuk beramal dengan hadis dhoif ini selagi mana ia berkait dengan fadhail a’mal. Dan inilah pandangan yang dikemukakan oleh imam Nawawi.

 

Maka itu ulama mengharuskan untuk menghidupkan malam-malam hari raya dengan amalan-amalan berikut yang memang jelas ada dalil yang sahih antaranya,

 

 

1. Bertakbir Hari Raya Takbir

 

ari raya adalah amalan sunat yang disyariatkan apabila terbenamnya matahari pada malam raya, iaitu bermula masuk waktu Maghrib 1 Syawal sehinggalah ke takbiratulihram bagi solat Aidilfitri. Perbanyakkanlah takbir sepanjang malam itu. Firman Allah surah al-Baqarah: 185,

 

Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) dan supaya kamu membesarkan Allah (takbir) kerana mendapat petunjuk Nya dan supaya kamu bersyukur

 

2. Berdoa dan beristighfar sebanyak-banyaknya

 

Menurut imam Syafie, “telah sampai kepada kami bahawa doa yang dimakbulkan pada lima malam iaitu, malam Jumaat, malam Aidilfitri, malam Aidiladha, malam pertama bulan Rejab dan malam Nisfu Syaaban”

 

Ambillah kesempatan pada malam tersebut untuk berdoa kepada Allah sebanyak-banyaknya.

 

3. Qiamulail

 

Inilah ibadah paling disukai Allah. Bangunlah pada 1/3 malam, dan laksanakanlah solat tahajud kerana Allah S.W.T.

 

4. Solat Isyak berjamaah

 

Alhamdulillah, mungkin selama sebulan kita telah berjaya melaksanakan solat Isyak dan sunat tarawih secara berjamaah sama ada di masjid atau rumah. Jadi kekalkan momentum tersebut walaupun Ramadan berakhir kerana ganjaran solat berjamaah lebih besar dari sendirian.

 

 

5. Membaca al-Quran dan berzikir

 

Teruskanlah membaca al-Quran dan berzikir walaupun mungkin anda berjaya khatam dalam bulan Ramadan. Ulang kembali bacaan dari awal dan jangan berhenti. Setiap satu huruf yang dibaca tetap mendapat 10 ganjaran pahala.

 

Alhamdulillah Syawal kali ini kita di beri kelonggaran melakukan aktiviti hari raya seperti lazimnya. 

 

Semoga segala amal ibadah kita diterima Allah hendaknya. Wallahu a’lam

 

Sumber : utusantv.com

Shopping Cart
ms_MYMS