Konsep dan Pengenalan Wakaf Yang Anda Perlu Tahu

Harta yang digunakan untuk wakaf merupakan satu kebajikan yang menjanjikan pahala berterusan. Setelah pemberi wakaf meninggal dunia, dan selagi ianya memberi manfaat kepada manusia, pahala akan sentiasa ada untuk pewakaf.

 

Buat anda yang ingin ketahui lebih lanjut mengenai wakaf, artikel ini akan memberikan pengertian dengan jelas tentang konsepnya dalam institusi Islam.

 

MAKSUD WAKAF

 

Berasal dari Bahasa Arab (waqf) yang membawa maksud berhenti, menahan atau menegah.

 

Namun dari segi syarak ianya bermaksud penyerahan harta atau hak milik tanpa ada susut fizikal untuk pengguna dari pertama kali ianya diwakafkan sehingga akhir dengan niat semata-mata kerana Allah S.W.T.

 

Harta yang diwakafkan TIDAK BOLEH diambil kembali atau dimiliki oleh individu lain.

 

PENGERTIAN DARI SEGI ISTILAH


Apa-apa harta yang ditahan hak pewakaf ke atas harta tersebut daripada bisnes atau beli, pewarisan, hibah dan wasiat untuk kebajikan dengan niat mendekatkan diri pewakaf kepada Allah S.W.T.

 

Konsep

Menurut Majlis Agama Islam Kedah, terdapat 5 konsep wakaf.

  • Wakaf hendaklah terputus hakmilik atau sebarang tuntutan balik daripada pewakaf selepas ikrar lafaz wakaf.
  • Harta yang boleh memberikan manfaat.
  • Hendaklah terdiri daripada harta-harta yang berkekalan.
  • Dibuat secara berkekalan tanpa dihadkan sesuatu tempoh masa.
  • Dibuat untuk tujuan kebajikan menurut hukum syarak.

 

 

TERDAPAT 2 JENIS WAKAF

 

1. Wakaf Ahli (keluarga)

Dikhususkan manfaat untuk ahli keluarga yang ditentukan oleh pewakaf.

 

2. Wakaf Khairi (kebajikan)

Di bawah wakaf ini terdapat dua cabang iaitu am dan khas.

Am – Tujuan untuk manfaatnya kepada umum mengikut hukum syarak. Berbentuk seperti kemudahan fasiliti atau apa-apa untuk membangunkan ekonomi Islam melalui aktiviti yang dijalankan berteraskan hukum syarak.

Khas – Diwujudkan untuk manfaat tertentu umat Islam mengikut hukum syarak seperti tanah untuk masjid, surau, sekolah agama atau perkuburan Islam atau lain-lain yang dikhususkan pewakaf.

 

4 RUKUN DAN SYARAT

 

1. Pewakaf (Al-Wakif) – Berakal, merdeka, dewasa, berkelayakan, sukarela.

2. Penerima Wakaf (Al-Mawquf’alaih) – Khusus samada seorang atau lebih, atau tidak dikhususkan tidak ditentukan pewakaf.

3. Harta yang diwakafkan (Al-Mawquf) – Mempunyai nilai, boleh dipindah milik, manfaat berkekalan, milik sepenuhnya pewakaf.

4. Akad atau surat berkenaan wakaf juga wasiat (Al-Sighah) – kata-kata atau lisan yang difahami untuk tujuan wakaf, wajib untuk mengesahkan wakaf.

 

PERBEZAAN WAKAF DARIPADA SEDEKAH DAN INFAK

 

Sedekah – Pemberian kepada yang memerlukan yang diberikan untuk mendapatkan pahala daripada Allah S.W.T.

Infak – Membelanjakan harta dan kepada yang berhajat.

Antara kedua ini, ianya mempunyai maksud yang sinonim.

Berlainan dengan wakaf yang bermaksud menahan harta untuk kegunaan dan kebaikan pihak lain.

 

 

KEBAIKAN WAKAF


1. Berkongsi Harta Ke Arah Kebaikan

Perkongsian harta dengan pihak lain melatih jiwa individu untuk berkongsi harta benda kepada golongan yang tidak berkemampuan.

Tidak semua orang mampu mempunyai kelebihan kemewahan yang golongan berkemampuan ada.

 

2. Amalan Pahala Tidak Terputus

Walaupun harta bukanlah aset yang akan berkekalan, namun pahala adalah aset yang lebih penting.

Malah dengan wakaf, asalkan harta diwakafkan memberi manfaat, pahala akan sentiasa wujud.

 

3. Pembangunan Ilmu

Harta yang diwakafkan berbentuk bangunan dibina menjadi institusi pembelajaran semestinya akan membantu pembangunan ilmu terutamanya umat Islam.

Semestinya sumbangan dalam institusi pendidikan akan mengembangkan lagi ilmu pengetahuan kepada masyarakat.

Abu Hurairah (R.A) berkata, Rasulullah (s.a.w) bersabda dengan mafhumnya:

 

Amal soleh yang akan sampai kepada orang yang beriman selepas kematiannya ialah ilmu yang dipelajari kemudian dikembangkannya, anak yang soleh, naskhah al-Quran yang ditinggalkannya sebagai pusaka, bangunan masjid yang didirikan olehnya, rumah (wakaf) yang dibina untuk para musafir, terusan yang digalinya atau sedekah yang diberi semasa hidupnya ketika dia masih sihat. Amal soleh ini akan sampai kepadanya selepas kematiannya.


 

Wakaf bukan sahaja berbentuk bangunan teguh yang tinggi, seperti sumbangan yang berbentuk satu kelebihan yang tak dapat dinikmati oleh semua. Sebagai contoh keperluan asas seperti air dan tandas.

 

Sumber : korbanaqiqah.com.my

Shopping Cart
ms_MYMS