12 Keajaiban Al-Quran Yang Perlu Kita Tahu

Al-Quran merupakan wahyu dan kitab suci yang Allah subhanahu wa ta’ala turunkan kepada Nabi Muhammad Shallahu ‘alaihi wa sallam serta menjadi kitab rujukan utama dan panduan hidup umat islam.


Kandungan Al-Quran merangkumi pelbagai keistimewaan dan bukan sekadar meliputi kata-kata Allah atau firmanNya kepada manusia seperti yang kita maklum secara asasnya.

 

Namun, Al-Quran memaparkan banyak cerita benar ataupun peristiwa berkait sejak dahulu kala untuk diteladani oleh semua manusia.

 

Keindahan gaya bahasa dalam Al-Quran adalah kerana laras bahasa arab yang menghiasi setiap susunan huruf-hurufnya hingga mampu menjelaskan makna atau definisi secara tepat.


Antara keistimewaan kitab suci Al-Qur’an termasuklah :

 

1- Isi kandungan Al-Quran tidak berubah.

Kitab Taurat ataupun Injil banyak ditokok tambah dan diselewengkan makna asalnya.  Berbeza seperti Al-Quran terjaga rapi dan terpelihara dari unsur-unsur kejahatan tangan manusia.

 

2-Mengandungi perintah Allah

Mengandungi hukum-hakam, perintah dan ayat suruhan seperti menutup aurat dan larangan makan dan minum yang haram seperti khamar dan khinzir.


 

3- Kisah orang-orang soleh.

Kisah 7 pemuda beserta seekor anjing bersembunyi dalam gua selama 309 tahun lamanya kerana melarikan diri dari raja yang kejam diabadikan dalam Surah Al-Khafi. Mereka orang-orang yang soleh terselamat dari pemerintahan yang zalim.

 

4- Cerita orang-orang yang ingkar.

Misalnya, kisah kaum nelayan dilarang menangkap ikan pada hari sabtu kerana hari tersebut hari ibadat kepada Allah. Mereka ingkar hingga Allah mengubah mereka menjadi kera. Peristiwa ini berada dalam Surah Al-A’raf ayat 166.

 

5- Kaum yang diazab.

Kaum Sodom pengikut Nabi Luth antara kaum yang diazab dengan diterbalikkan negeri kerana hubungan sumbang yang mengamalkan LGBT. Hatta terdapat banyak lagi kisah kaum yang ingkar dicatatkan dalam Al-Qur’an sebagai pengajaran.

 

6- Surah-surah khusus untuk sebuah kisah.

Al-Qur’an merekodkan surah-surah khas khusus menceritakan riwayat atau perjuangan para Nabi seperti Nabi Yusuf AS dalam Surah Yusuf dan kisah Nabi Nuh AS dalam Surah Nuh. Selain para Anbiya adanya kisah wanita beriman seperti ibu Nabi Isa AS, Maryam dirakamkan di dalam Surah Maryam.

 

7- Kisah-kisah ghaib.

Jin termasuk makhluk Allah yang disebutkan di dalam Surah al-Jin. Manusia tidak dapat melihat jin namun wajib meyakini kewujudan ciptaan Allah yang hidup di alam ghaib.

 

8- Pelajaran daripada kisah haiwan.

Labah-labah antara haiwan yang disebutkan dalam Surah Al-Ankabut ayat 41. Allah mengumpamakan penyembah-penyembah berhala yang menyembah selain kepadaNya seperti labah-labah yang membuat rumah untuk berlindung.

 

Hakikat tempat perlindungan tersebut sangatlah lemah dan mudah roboh. Terdapat banyak lagi kisah-kisah haiwan dinukilkan untuk diambil ibrah.

 

9- Ganjaran pahala berlipat ganda pada yang membaca Al-Quran.

Dikhabarkan dalam sebuah hadith mengenai ganjaran orang-orang yang membaca Al-Quran bahawa Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda :

 

Barangsiapa membaca satu huruf dari kitabullah, baginya satu kebaikan. Satu kebaikan akan dilipat gandakan sepuluh. Aku tidak mengatakan ‘alif laam miim’ itu satu huruf, akan tetapi, Alif satu huruf, Laam satu huruf dan Miim satu huruf.

 

10- Syafa’at pada hari kiamat.

Syafa’at bermaksud pertolongan. Orang yang membaca Al-Quran akan diberikan syafa’at pada hari kiamat kelak. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda :

  Rajinlah membaca al-Quran, kerana dia akan menjadi syafa’at bagi penghafalnya di hari kiamat.
 

 

11- Penawar bagi manusia.

Al-Quran adalah rawatan dan ubat bagi manusia. Dalam riwayat Bukhari dan Muslim mengisahkan bahawa sebahagian para sahabat mendatangi sebuah kampung. Salah seorang daripada mereka membacakan Al-Fatihah pada ketua kampung yang telah disengat binatang dan akhirnya sembuh atas izin Allah. Jelas terbukti bahawa Al-Quran menjadi sumber penyembuhan. Firman Allah subhanahu wa ta’ala :

  Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran ayat-ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman.

 

12- Benteng dan pendinding diri di rumah.

Al-Quran meletakkan kaifiat dan kelebihan pada surah-surah tertentu. Sebagai contoh, surah Al-Baqarah jika dibaca mampu menjauhi dan mengusir syaitan di dalam rumah. Dalilnya : Dari Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda :

  Janganlah kamu menjadikan rumah-rumah kamu perkuburan, sesungguhnya syaitan lari dari rumah yang dibacakan di dalamnya surah Al-Baqarah.

 

Kitab suci Al-Quran pelengkap kepada kitab-kitab sebelumnya malah jauh dari cacat cela dan serba kekurangan. Ini membuktikan ramai di kalangan para huffaz berjaya menghafalnya kerana Allah menjamin kelengkapannya.


Al-Quran mengatur kehidupan kaum muslim dalam proses beribadah kepadaNya.

 

Sebagai orang-orang beriman yang mengakui akan mukjizat kalamullah, kita hendaklah merenungi dan menghayati setiap ayat baik berupa ancaman dan tarbiah. Pengertiannya dapat ditadabburkan, difahami dan kemudian diaplikasikan dalam kehidupan.

 

Kesimpulannya, Al-Quran mempunyai kehebatan agung dalam membangkit semula ketamadunan manusia. Keistimewannya dapat membimbing ke arah kebenaran dan mematikan kefahaman jahiliyyah.  

 

Sumber : Syuhara Suriati ( jejaktarbiah.com )

Shopping Cart
ms_MYMS